Di saat kita mengharungi pergelutan zaman yang semakin pantas berubah dan juga semakin menjurus ke arah kehidupan kebendaan yang begitu dahshat, kita tidak seharusnya lalai dalam memberikan asuhan dan bimbingan yang sewajarnya kepada generasi muda masa kini. Menyedia dan mencorakkan daya fikir serta mengasuh mereka dengan kefahaman Islam yang betul adalah satu keperluan yang mesti dilakukan kerana ianya ternyata dapat memberikan kesan mendalam kepada golongan ini. Hal ini berdasarkan kepada keupayaan golongan muda untuk mencerap dengan mudah apa sahaja bentuk pendidikan yang diberikan sama ada yang baik ataupun yang sebaliknya.
Oleh itu bentuk pendidikan yang bakal dimasukkan ke dalam akal fikiran golongan ini perlulah sesuatu yang berupaya untuk membentuk pemikiran mereka yang sihat dan pada masa yang sama berupaya pula menyediakan mereka sebagai pelapis yang akan mewarisi bumi Malaysia ini. Usaha ini juga pastinya menjadi matlamat untuk mewujudkan satu generasi yang cintakan ilmu yang seterusnya melahirkan golongan pemikir dan juga pewaris kepimpinan yang bertaraf tinggi. Cita-cita yang sebegini pastinya suatu yang sukar untuk dicapai terutamanya dalam suasana kehidupan masa kini yang begitu mencabar, namun ianya bukanlah suatu yang mustahil.
Sebenarnya hasrat untuk memiliki dan melahirkan generasi yang hebat bukanlah perkara baru, malah ianya juga pernah disuarakan oleh Sayyidina Umar al Khattab suatu ketika dahulu. Pernah suatu ketika bersama-sama dengan para sahabat yang lain Umar bertanya kepada para sahabatnya apakah yang diinginkan oleh mereka. Lalu antara mereka ada yang bercita-cita untuk memiliki sejumlah harta yang banyak, dan dengan harta itu dapat mereka sedekah dan belanjakan pada jalan Allah. Namun keinginan Umar jauh berbeza daripada para sahabatnya, apabila beliau mengatakan "Aku inginkan sekumpulan manusia yang hebat seperti Abu Ubaydah al Jarrah, Muaz ibn. Jabal dan Salim Maula Abi Hudhaifah untuk membantu aku mendaulatkan agama Allah."